Oleh : Solahuddin Al-Idrus
Terkesima. Itulah reaksi yang dapat aku gambarkan tatkala melihat telatah warga tua dan anak-anak kecil di Sana’a ini. Seolah sedikit pun tidak pernah ujud rasa gentar apabila mendengar bunyi tembakan dan dentuman bom.
Malah sempat mereka berseloroh “Oh…….Biasa la tu………itu adalah bunyi sambutan pernikahan anak presiden…..,”
Apa faedah kamu dapat apabila pulang ke Malaysia? Minda aku serasa ‘diprovok’ dengan soalan anak kecil itu membuatkan timbul rasa sedikit tercabar.
Belum pun sempat menjawab, sekali lagi aku diasak, Apakah kamu gelisah dengan keadaan sekarang?
Aku mengusap usap kepalanya sambil tersenyum kagum tanpa menjawab apa-apa. Terlintas di fikiranku bahawa tersirat maksud yang mendalam pada soalan anak kecil tadi.
Ya, mungkin Allah mewakilkan anak kecil itu untuk mengetuk minda dan iman ku agar aku lebih mengerti tentang rahsia di sebalik situasi mencabar yang sedang aku dan rakan-rakan lalui waktu ini.
“Kamu tidak takut?,” Soal aku pula dalam perbualan pada hari itu. Kali ini dengan seorang pemuda pula.
Jawab pemuda itu dengan segenggam keyakinan, “bagi kami, ini adalah perkara biasa…..tiada alasan untuk takut kerana kita punya Allah…….ketahuilah, jaminan Syurga berada dibawah naungan pedang,”
Begitulah prinsip dan jawapan mereka. Sentiasa meletakkan Tuhan lebih dari segalanya. Hidup dalam keadaan bertawakal dan berserah sebulatnya pada Sang Penakluk alam.
Perang memang kejam, perang memang mengerikan, perang memang menyakitkan, dan perang memang menakutkan. Akan tetapi, aku hairan bagaimana mereka dapat menempuh hari-hari kehidupan dengan tenang seperti damainya kicauan burung di pagi hari.
Dentuman bom dan bunyi senapang otomatik yang sering kedengaran, tidak sedikit pun merubah manisnya senyuman anak-anak kecil yang bermain di lorong-lorong batu berselaput debu itu..Tidak sedikit pun melencongkan langkahan kaki mereka. Malah, ia disambut dengan lemparan senyuman.
Syeikh aku sempat berpesan, “ini adalah didikan Tuhan dari langit buat kita yang berada di Yaman..Masa yang terluang ini harus digunakan untuk mendekatkan diri kepadaNya..Menghafal dan membaca Al-Quran..”
Sungguh! Ini satu babak baru dalam kehidupan..Aku hanya seorang yang sedang menggali erti sebuah luka dan perlawanan. Maksud sebuah keteguhan dan kesabaran. Tafsir dari sebuah jihad dan kesyahidan..Aku mendapat kuliah secara langsung daripada anak-anak kecil yang riang itu. Yang tumbuh dalam kampus universiti pergolakan Yaman.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُمْ مَثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِنْ قَبْلِكُمْ ۖ مَسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
Perbualan hari itu cukup menyedarkan aku betapa Tuhan telah mencampakkan ketulan ketenangan ke dalam hati mereka. Juga memberi ingat kepadaku bahawa mutiara yang tertanam di bumi jolokan iman dan hikmah ini belum habis aku selami.
Saat aku menulis catatan ini, masih terbayang ukiran wajah senyuman anak kecil yang cekal itu..Wajah yang menyimpan seribu hikmah, yang pasti nanti akan berputik buah-buah keimanan.
Itulah hikmah, tinggal di Yaman, bumi yang masih di turunkan hikmah dan ilmu, walau pun sedang musnah akibat tangan-tangan rakus manusia dalam perlumbaan menakluk tahkta kekuasaan.
No comments:
Post a Comment