Pages

Sunday 22 January 2017

Travelog 5: Mujahidin Adalah Pembela, bukan pengganas!


Oleh : Solahuddin Al-Idrus

Pagi yang kelam kabut. Hati bagai disentap. Berdebar serta teruja. Ya! Teruja kerana diberi peluang untuk _cover_, membuat liputan di 'jabhah', sebuah medan di tengah-tengah lereng bukit di Madinatul Taiz. Banyak perkara sebenarnya yang boleh membuat saya berdebar keterujaan, tetapi salah satunya ialah ini.

Bukan senang mahu menunggu detik untuk dapatkan peluang sebegini. Bukan mudah mahu dipujuk mereka semua untuk membawa kami hingga ke daerah jihadi ini. Iya la kan, kami adalah orang luar. Tambahan pula, sekarang kami berada di negara yang orang-orangnya kurang mesra dengan media. Dengan maksud, asal mahu diambil gambar sahaja, semua tidak boleh. Semuanya Haram. _Mamnuk_. Apatah lagi perkara besar sebegini, yang melibatkan nyawa.

Mereka sebenarnya lebih mengambil sikap berwaspada, mereka bukan anti media. Disebabkan di luar sana terlalu bersepah pihak media sampah yang menjadi juak-juak talibarut musuh, mereka terpaksa bersikap demikian.

Selepas benar-benar yakin dengan tugas dan tujuan kami, barulah mereka melepaskan kami untuk membuat liputan di sini.


Saya difahamkan, sudah ramai jurugambar dan juruvideo dari dalam dan luar negara yang menjadi sasaran utama peluru musuh, pihak pemberontak. Sudah ramai pengamal media yang syahid di tangan sniper musuh sewaktu bertugas.



Kalian tahu kerana apa? Semata-mata kerana mereka tidak mahu apa yang berlaku di Yaman diketahui oleh negara-negara jiran, oleh pihak luar. Bila mereka tahu, tentu sekali bantuan dan simpati akan datang mencurah-curah ke Yaman.

_Nas alulLaha Taala Taqabbalahum mina Syuhada_. Semoga Allah menerima mereka yang gugur sebagai para Syuhada.

"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)

Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada sebuah perjuangan yang inti di dalamnya ialah nilai pengorbanan yang sangat tinggi. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat, dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah untuk memberi, bukan sekadar menerima. Ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.



Sebelum bertolak, pagi itu kami diberi taklimat tentang keadaan semasa di medan oleh seorang Ahli Parlimen dalam kawasan Taiz yang juga merupakan Amir kepada barisan mujahidin yang sedang  berkawal. Namanya Abdul Kareem.

Kami dimaklumkan, tentera pemberontak Houthi  sedang berbalas tembakan dan beliau akan membawa kami ke sana untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Di sana nanti, kami pasti berpeluang menyaksikan bagaimana kesan kemusnahan akibat peperangan ciptaan pencatur ghaib ini.

Kami dikawal ketat oleh barisan mujahidin. Segala tindak tanduk diperhatikan mereka. Adakala saya dimarahi kerana tidak fokus untuk merakam gambar sekeliling. Mungkin saya terlalu teruja menyebabkan kadang-kadang tindakan yang dibuat di luar kawalan dan arahan yang ditetapkan. Sungguh amanah mereka ini. Tidak berganjak tubuh dan mata. Mengekori dan mengawasi. Ke mana sahaja saya pergi, pasti tidak lepas dari pengawasan mereka. Kadang-kadang timbul rasa rimas pula. Agaknya beginilah perasan anak-anak raja atau bangsawan yang mempunyai pengawal peribadi.

Kebanyakan mujahidin di sini terdiri dari kalangan 'Fityatun'. Pemuda dari pelbagai latar dan qabilah. Dari kalangan orang-orang yang gagah akal, minda, dan fizikal. Yang pastinya, mereka adalah di kalangan pemuda-pemuda yang menyahut pilihan Tuhan. Sepertimana kita lihat dalam kisah Ashabul Kahfi. Sekumpulan anak muda yang beriman serta berpegang teguh dengan janji Allah SWT.



Mereka lebih rela mengorbankan masa, tenaga, harta, hatta waktu seronok alam muda mereka dengan menginfaqkan diri ke jalan Allah. Dengan agama, mereka bangkit membela saudara seakidah!

Sepanjang mengikuti Abdul Kareem, saya melihat beliau seorang yang amat disegani ramai. Beliau juga terkenal sebagai tokoh pendamaian di kalangan masyarakat. Abdul Kareem pernah diperangkap dalam cubaan untuk dibunuh oleh pemberontak Houthi, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.

Pagi itu suasana sekeliling sunyi. Sesekali sayup kedengaran bunyi tembakan. Sejak dari malam lagi, begitulah. Mereka hanya berhenti berbalas tembakan sewaktu azan Subuh berkumandang.

Subhanallah.

Subuh itu sungguh syahdu. Dalam suasana di sekeliling gelap gelita, kedengaran bacaan solat dicorong masjid dan  penamatnya adalah dengan bacaan Qunut Nazilah,  memohon pertolongan Allah Azzawajalla. Terpegun saya melihatnya. Terkelu minda dan pena. Kolam di tubir mata seolah ingin melimpah. Sekaligus membangkitkan semangat untuk sama-sama menolong mereka.

Ya, dengan bersenjatakan Canon7D sumbangan orang ramai dan pena ini saya terjun ke medan jihadi yang sedang dikawal oleh para _ansorulLah_. Mujahid. Mujahid media.

Antara hari-hari indah sewaktu keberadaan di Yaman sama ada ketika ini mahu pun sewaktu belajar dahulu, ialah apabila azan dilaungkan, mereka bersiap sedia untuk mengadap Ilahi. Tua. Muda. Masing-masing meninggalkan sebentar kekecohan alam dunia. Dan perkara terbaik adalah sama-sama berkejaran berjemaah di masjid. Andai terserempak di jalanan, mereka tanpa segan tiada silu turut mengajak kita ke masjid. Semoga Allah merahmati penduduk Yaman!

Sodaqta Ya Rasulullah! Iman itu benar-benar wujud di Yaman.

'Bangkit Beragama, Umat Terbela'

Monday 9 January 2017

Travelog 4 ; Taiz, Wilayah Kepungan Kesakitan

Seawal mentari mula mengintai di hujung ufuk. Seawal sang burung bersiap-siap untuk keluar dari sarang. Seawal gelap tanah mula dicahayai sinar. Saya dan sahabat-sahabat Yemen Care sudah turun bersama-sama wakil NGO Islah meneruskan misi. Kali ini, merentasi sahara menuju ke Taiz.
Kanak-kanak TaizPacuan Prado yang kami menumpang rehat lelah di sepanjang pengembaraan ini terus membelah debu-debu sahara. Saya keseorangan mengkhayalkan sesuatu. Suasana sekeliling sahara yang terbentang, kering, berdebu, kekosongan, berunta dan berhimar itu seakan menayangkan satu kisah yang amat agung. Flora dan fauna gersang ini menjadi bukti tentang sejarah yang tersimpan rapi. Di kiri kanan saya, rakan aktivis yang lain mengambil peluang untuk berehat dan melelapkan mata.
Kalau dibelek pada lembaran tarikh penyebaran Islam, Nabi SAW pernah mengarahkan para sahabat dari Yaman menyebarluaskan ajaran Islam ke negara-negara jiran hanya dengan menaiki unta melalui padang pasir sebegini. Sahara yang siangnya membahang di bakar terik mentari, dan pada malamnya pula diselimuti kesejukan yang menyucuk tulang belulang.
Tapi kami? Masih enak ber’aircond’ di siang hari, dan malam kami berselimut kain berbulu dan tebal untuk menghangatkan badan. Dalam perjalanan kami sempat berhibur dengan lagu-lagu jihad. Namun mereka? Hiburan mereka adalah pada zikir-zikir yang tak lekang dari bibir-bibir, mereka berpanasan terik mentari tanpa sebarang teknologi..! Subahanallah. Setebal apakah Iman juang mereka?
Taiz3Wilayah Taiz yang sedang kami tuju itu mempunyai bilangan rakyat yang paling ramai iaitu kurang lebih 4 juta orang. Negeri yang pertama Nabi SAW mengutuskan penghulu para ulama di kalangan umat Muhammad, Muaz bin Jabal itu juga sehingga sekarang masih dikepung pemberontak Houthi.
Taiz merupakan negeri yang di dalamnya mempunyai insan-insan yang masih beristiqamah menggerakan gerakan Islam tempatan. Oleh yang demikian, menjadi antara asbab mengapa mereka terus ditekan dan menjadi mangsa para pengkhianat agama, bangsa, dan negara Yaman.
Untuk ke wilayah Taiz, kami perlu melalui bandar yang hampir musnah dibalun pemberontak Houthi. Bandar di pesisir laut itu dikenali sebagai Aden. Sebuah bandar yang sejak dari dahulu terkenal dengan pusat pelabuhan strategik di Laut Merah. Tetapi untuk coretan kali ini, saya tidak berhajat untuk menceritakan kemusnahan dan kemasyhuran di Aden. In sya-Allah saya akan kongsikan tentang Aden berserta kebangkitan para mujahidinnya di lain episod.
Oh ya, tanah Taiz yang subur ini telah menyaksikan siri kepungan oleh pemberontak Houthi sejak 2 tahun yang lalu. Kiri kanan, atas bawah, depan dan belakang mereka dihalakan muncung-muncung Ak47 dan peledak roket berhologram pengilang luar yang menjadi pencatur ghaib babak-babak kemusnahan ini. Setiap hari, setiap jam..! Yang lebih parah, sehingga hari ini tiada satu pun bekalan bantuan yang masuk ke muhafazah Taiz ini. Sama ada tiada yang cakna, atau pun kecaknaan itu dihalang oleh pihak soldadu pemberontak. Itu saya kurang pasti.
Taiz2Setiap hari mereka diburu dan juga dijerangkap samar. Lihat kawan! Mereka Dibinatangkan.
Menurut UNICEF, setiap 10 minit seorang kanak-kanak akan mati akibat kekurangan zat makanan!
Tidak seperti biasa. Perjalanan ke Taiz perlu menggunakan jalan tikus. Ya, jalan TIKUS! Jalan dan lorong-lorong yang tidak dilalui manusia kerana jalan yang sedia ada sangat sukar untuk dilalui dan terpaksa berhadapan dengan pemberontak Houthi.
Keempat-empat jalan utama telah dikepung sejak 2 tahun lalu ketika meletusnya peperangan.
Daripada Aden ke taiz, jalan yang paling hampir lebih kurang dua jam perjalanan. Namun, disebabkan kepungan ‘haram’ tersebut, kami terpaksa melalui jalan-jalan tikus yang hanya digunakan oleh penyeludup barangan. Laluannya berbatu dan tidak rata. Kami difahamkan, laluan itu pada asalnya bekas aliran sungai yang telah pun kering kontang. Itulah jalan terbaik dijadikan laluan untuk masuk ke wilayah bergolak, Taiz. Perjalanan asal yang sepatutnya memakan masa selama hanya 2 jam, telah menjadi hampir 7 jam!
Taiz4Setiba di hudud (sempadan) Taiz, kami disambut mesra oleh sohibul mujahidin. Walaupun kami tiada kerusi atau pun tidak pernah mencuri mana-mana kerusi rakyat, tapi kami dilayan para mujahidin bagaikan Yang Berhormat. Sungguh tinggi nilai akhlak dan adab mereka. Siapa kata mereka semua ini pengganas??! Sangat baik hati dan menghormati tetamu!
Mujahidin? Mereka BUKAN pengganas.
Pengganas? Mereka terang-terang BUKANlah di kalangan mujahidin.
Usah kita tertelan racun-racun halus media propa yang kerjanya membusukkan pembela Islam. Bukankah gelaran mereka disebut dalam Al-Quran dan Al-Hadis? Bukankah tugas mujahidin itu membela agama? Layakkah mereka yang menjadi pembela agama itu membuat sesuatu yang dimurkai Tuhan?
Setiap hari mereka menghadap mati kawan. MATI! Justeru apakah mereka tega membuat maksiat andai kematian berada di hadapan mata di setiap saat? Ahh! Media propa memang jahat dan terlaknat!
Yemen Care TaizMujahidin adalah insan istimewa pilihan Tuhan. Nantikan siri travelog ini di episod akan datang.
Bismillahi Robbil Mujahidin…Moga syafaat mereka terpercik setitik pada diri kami..
3 Januari 2017
Taiz, Yaman
" BI RUH...BI DAM "