Sejak kebelakangan ini keadaan semasa di negara Yaman mendapat liputan luas dari berita-berita antarabangsa, bahkan turut mendapat perhatian dari media-media di Malaysia. Seringkali gambaran yang diberikan dalam laporan dan berita tersebut adalah terlalu negatif. Sehubungan dengan itu, mungkin Tuan boleh memberikan serba sedikit gambaran mengenai situasi sebenar yang berlaku kini di Yaman dari sudut pandangan Tuan?
Pada tahun 2011, negara Yaman turut berhadapan dengan kemelut politik yang melanda beberapa negara Timur Tengah pada masa itu dimana penganalisis-penganalisis politik bersependapat untuk memanggilnya sebagai “Arab Spring”. Tidak dapat dinafikan bahawa kemelut tersebut telah menjejaskan situasi politik dan keselamatan di Yaman.
Semenjak krisis 2011 tersebut, negara Yaman kini sedang dalam proses untuk membaikpulih dan membina semula sistem kerajaannya. Dibawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dipelopori oleh Duta Khas PBB Jamal Benomar, parti-parti politik di Yaman telah bersetuju untuk mengetepikan kepentingan dan pendirian politik masing-masing untuk bersama-sama duduk berbincang mengenai hala tuju dan masa depan negara tersebut. Ini merupakan satu pencapaian bagi masyarakat Yaman kerana ianya mengelakkan negara tersebut dari terjerumus ke dalam kancah perang saudara.
Berdasarkan kepada pelan peralihan yang dirangka oleh PBB dan Gulf Cooperation Council (GCC), parti-parti politik di Yaman pada bulan Februari tahun lepas telah mencapai kata sepakat semasa National Dialogue Conference (NDC) untuk menggubal dan merangka perlembagaan baru bagi negara Yaman. Draf perlembagaan tersebut akan disokong terlebih dahulu secara referendum oleh rakyat Yaman sebelum diwartakan secara rasmi sebagai perlembagaan baru. Dan kemudian yang terakhir sekali adalah untuk mengadakan pilihanraya bagi melantik Presiden dan Parlimen baru.
Walaubagaimanapun semasa proses merangka dan menyiapkan draf Perlembagaan tersebut, terdapat beberapa perselisihan pendapat di antara segelintir parti-parti politik yang terlibat yang membawa kepada berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini seperti yang dilaporkan baru-baru ini oleh berita-berita tempatan dan antarabangsa.
Pada pandangan Tuan, apakah situasi di Yaman akan menjadi lebih teruk?
Pada masa ini, amat sukar untuk menjangkakan apa yang akan berlaku di Yaman memandangkan keadaan politiknya yang rumit. Situasi politik di Yaman tidak dapat digambarkan secara ringkas melalui hitam dan putih.
Tetapi buat masa sekarang, kebanyakan parti politik masih komited untuk menyelesaikan perbezaan melalui meja rundingan yang dianjurkan oleh Duta Khas PBB Jamal Benomar. Kesanggupan sesetengah pihak untuk berunding dan menyelesaikan masalah berbanding perang senjata menunjukkan satu petanda positif mengenai perkembangan semasa di Yaman.
Namun pihak Kedutaan turut mengambil kira akan keadaan keselamatan di Yaman yang diketahui agak mencabar terutamanya apabila melibatkan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara ini.
Apakah nasihat Tuan kepada rakyat Malaysia yang berada di Yaman khususnya pelajar-pelajar kita?
Ekoran situasi di Yaman pada masa ini, pihak Kedutaan menasihati rakyat Malaysia yang berada di negara ini untuk mengambil langkah keselamatan termasuklah mengelakkan dari kawasan yang berisiko tinggi, tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau protes awam, dan sentiasa peka dengan nasihat atau arahan dari pihak Kedutaan dan pihak berkuasa. Pelajar-pelajar Malaysia juga dinasihati untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang akan menjejaskan nama baik Malaysia.
Bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang bercadang untuk melawat atau berhasrat untuk melanjutkan pengajian di institusi-institusi pengajian di negara Yaman?
Bagi rakyat Malaysia yang bercadang untuk melawat negara ini adalah dinasihati untuk menangguhkan perjalanan mereka sehingga keadaan keselamatan kembali pulih seperti biasa. Pihak Kedutaan juga tidak menggalakkan rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka di negara ini buat sementara waktu.
Terima kasih di atas kesudian Tuan melapangkan masa untuk ditemubual. Sesungguhnya maklumat yang diberikan oleh Tuan dalam temubual ini amatlah berguna untuk lebih memahami keadaan sebenar yang berlaku di Yaman, terutamanya bagi pelajar-pelajar Malaysia di Yaman dan juga ibu bapa di Malaysia yang kadang kala risau mengenai keselamatan anak-anak mereka.
Sama-sama.
***Encik Muhammad Azmi Abdullah kini sedang berkhidmat sebagai Kuasa Usaha Sementara di Kedutaan Besar Malaysia, Sana’a. Beliau telah tinggal dan bertugas di Sana’a selama hampir dua tahun yang mana antara tugasan beliau termasuklah memantau perkembangan politik semasa di Yaman. Sebelum berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Sana’a, beliau telah bertugas di Wisma Putra selama hampir lima tahun mengendalikan isu-isu pelbagai hala seperti keselamatan, perlucutan senjata dan senjata kimia.
No comments:
Post a Comment