Pages

Saturday 31 December 2016

Travelog 3 : Ma'arib, Kubu Sejuta Pelarian



Pagi itu saya sedikit gelabah. Terkalut dengan persiapan yang tidak berkesudahan. Perkakas media. Banting, banner, dan stiker untuk ditampal pada kantung sumbangan yang akan diedarkan di Maarib nanti masih banyak yang menunggu giliran untuk disentuh.

Maarib merupakan sebuah wilayah yang rata-rata penghuninya betul-betul menjiwai dan mengamalkan segala sunnah yang ditinggalkan Baginda Muhammad SAW. Berjanggut. Bersugi. Dan sangat hormat malah mendahulukan tetamu walau diri sendiri dalam keadaan dhoif yang amat.


Teringat pula saya tentang kisah bagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang kehausan dalam kecederaan teruk ketika peperangan Yarmuk. Hanya segelas air yang ada. Sahabat pertama yang mendapat air tersebut tidak sanggup meminumnya kerana lebih mengutamakan sahabat di sebelahnya. Lalu air dihulurkan kepada sahabat yang kedua. Beliau juga sedemikian tingkahnya lalu diberikan pula kepada sahabat yang ketiga.



Begitulah seterusnya, gelas yang berisi air itu berpindah dari tangan ke tangan yang lain. Sehingga air tersebut sampai semula ke giliran sahabat yang pertama tadi. Namun, beliau telah syahid. Bukan beliau sahaja, malah kesemua mereka telah syahid tanpa luak setitik pun air untuk menghilangkan kehausan. Mereka lebih rela mati dalam jalinan ukhuwah yang kukuh. Kepentingan diri sudah pupus dalam hati mereka. Diganti dengan sikap ukhuwahfilLah hasil didikan madrasah kenabian.
Saya difahamkan, nazihin (pelarian) di Maarib makin bertambah dan bertambah dari semasa ke semasa. Dianggarkan lebih kurang 1 juta orang yang menumpang teduh dari hujan peluru di wilayah kering kontang itu.



Kesemua 14 wilayah yang terjejas akibat krisis percaturan ghaib ini berbondong-bondong ke Maarib termasuk dari Dhamar dan Sana'a. Bayangkan, tanah Maarib yang tidak seberapa besar  itu menjadi tempat perteduhan mereka. Allahu Yahfaz ahlul Maarib. Semoga Allah melindungi penduduk Maarib.

Melalui Seiyun, ibu wilayah Hadhramaut, kami berangkat ke Maarib. Perjalanan ke sana mengambil masa 6 jam lebih membelah lebuhraya sahara. Kami menaiki jentera Prado kepunyaan Yayasan Islah Yaman. Sebuah NGO tempatan.




Kiri dan kanan jalan dibarisi gunung serta sahara yang luas tak terjangkau pandangan. Lebih 20 kali sekatan ataupun pemeriksaan keselamatan kami lalui di sepanjang jalan dari Seiyun ke Maarib. Inilah 'tol' di sini. Tanpa bayaran tunai. Mereka memakai sistem 'See Touch n Go'. Iaitu, pandang. Jika ada yang mencurigakan mereka akan pegang. Dan jika 'bersih', kita akan dapat meneruskan perjalanan.

Roadblock Mujahidin. Mereka ribath. Menjadi sukarelawan penjaga sempadan yang berkawal di sepanjang jalan demi mencari kelebihan 'jihad' untuk kebahagiaan di Darul Salam kelak. Siang malam mereka bersengkang mata dan tenaga demi untuk memastikan orang awam dapat hidup dalam keadaan selamat dari ancaman pengganas Houthi.

Sememangnya Allah sudah  agihkan tugasan pada paksi masing-masing. Mereka di medan perbatasan, manakala kami pula di medan kebajikan dan penyebaran maklumat. Kalian di tanah air pula di medan silmiyyah, menggunakan demokrasi untuk kedaulatan Islam.  Moga semua ini dinilai Tuhan sebagai amal jihad di jalan Allah.

Setibanya di Medan, kami disambut oleh Wakil Yayasan Islah cawangan Maarib. Pagi itu, kaki ini sekali lagi menjejak ke Hospital Maarib. Sebahagiannya sudah ranap diledak roket buatan luar. Kemudahan yang tersedia begitu meruntun perasaan. Kami dibawa untuk menziarahi pejuang-pejuang pembela tanah air yang tercedera teruk di medan.




Subhanallah. Mereka tetap kuat dan bersemangat walau badan tampak lemah. Walau mereka kehilangan kaki dan tangan. Sumpah. Terputik malu untuk berhadapan dengan roh jihad mereka.

Sempat saya bertegur sapa dengan seorang pejuang yang terlentang di katil pesakit dalam wad yang serba kekurangan itu.

Perutnya terburai ditembusi hampir 30 biji peluru penceroboh. Tiga kali pembedahan dibuat dalam tempoh satu tahun. Setiap kali sembuh dari sakit, terus bangkit galas ak47 untuk turun ke medan.

Beliau menceritakan, sudah tiga kali ditembak dibahagian perut yang sama. Ajib! Tuhan masih panjangkan nafasnya untuk berjumpa kami. Ahh, sememangnya bukan untuk bertemu kami sangat pun, tapi untuk mengutip kilauan hikmah yang bertaburan di medan juang. Umur beliau sekitar awal 20-an. Masih mentah dan segar. Tetapi direzekikan iman yang kuat berserta roh yang ranum untuk membela Islam. Mudahan Syurga ganjaranmu duhai Ansorullah!

Tanah Balqis sebelum ini telah menyaksikan peperangan. Sesudah sembuh daripada luka peperangan, sekarang dijangkiti pula dengan pelbagai jenis virus bawakan pelarian.


Nanah-nanah, kemiskinan, luka-luka, kepapaan, dan kemelesetan memenuhi segenap ruang di belahan bumi Maarib ini. Namun dengan kemurahan, dengan kecaknaan, mereka bersama-sama saling membahu membantu masyarakat yang digelar sebagai pelarian itu untuk mengharungi liku perjalanan ngeri episod hidup mereka.

Banyak lagi sebenarnya yang  teringin saya kongsikan kisah-kisah pejuang yang tercedara pada kalian. Tapi tarian pena terpaksa saya hentikan di perenggan ini sahaja kerana keterbatasan waktu dan kedhaifan jaringan maya yang ada di sini. Insha-Allah andai dipanjangkan umur dan kesempatan, pasti saya akan sambung coretan ini, demi Islam untuk Ummah.

Tika saya menulis bahagian penutup ini, sebenarnya saya sedang berada dalam Prado kepunyaan NGO Islah menuju ke wilayah yang masih bergolak teruk. Satu-satunya wilayah yang paling kuat pegangan ahlul sunnah. Taiz. Sehingga sekarang wilayah tersebut masih berperang dan sehingga saat ini tiada satu pun bantuan yang sampai ke sana. Pasti mereka sangat tertunggu-tunggu bantuan daripada pihak luar. Nantikan kami wahai mujahid Taiz. Kami akan akhiri penantian kalian walaupun dengan sekeping roti.




Nampaknya tahun ini kami akan bertahun baru dengan gema takbir, bunyi tembakan, dan percikan bunga api hasil ledakan bom puak penceroboh di wilayah Taiz. Doakan misi kami demi membantu mereka yang sedang membela agama Allah itu.

*'Bangkit Beragama, Umat Terbela'*

30 Disember 2016
Jumaat
Maarib

No comments:

" BI RUH...BI DAM "