Pages

Monday, 26 December 2016

Travelog 2 - Menuju Tarim, Yaman



“Jauh perjalanan banyak pemandangan luas pengalaman, lama hidup banyak yang dirasa menjernih kematangan.”

Begitulah peribahasa bani Melayu yang mengakui kelebihan orang yang bermusafir terutamanya dari aspek pemandangan fizikal lorong yang dilalui serta budaya setempat, alam semula jadi, dan peradabannya. Peribahasa tersebut saya ungkap dalam versi sendiri tapi cukup menceritakan maksud yang serupa.

Lebih dari itu, bagi mereka yang benar-benar fokuskan pemerhatian dari pandangan spiritual, pasti akan dapat menyingkap tabir kejadian bahawa segalanya tertakluk pada kebesaran Allah yang maha Pencipta.





Lalu, mereka mampu menyelami sejarah ketamadunan yang terpampang di hadapan mata dan mengambil iktibar daripadanya. Bukankah dalam Al-Quran menganjurkan permusafiran dengan penuh kesedaran  terhadap kuasanya Tuhan?


قُل سيروا فِى الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ بَدَأَ الخَلقَ ۚ ثُمَّ اللَّهُ يُنشِئُ النَّشأَةَ الآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Katakanlah: 'Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Sepanjang perjalanan, tiupan angin Sultan Qabus membelai perasaan. Cuaca di sini panas-panas suam..  Di kiri kanan terbentang gah gunung memasak bumi dan laut kebiruan yang luas menyimpan khazanah Tuhan.

Subhanallah. Keindahannya tak terjangkau dek akal. Tidak mungkin di sebalik keindahan ini wujudnya letupan dan pembantaian. Mustahil juga di seberang keindahan lukisan alam ini adanya mereka yang mati kelaparan. Adanya desa-desa yang terbakar. Adanya masjid-masjid yang runtuh sebahagiannya. Adanya anak-anak kecil bergelimpangan, bersalut debu tanpa bernyawa. Adanya perempuan-perempuan suci berkerudung yang dimamah setelah maruah mereka dirobek-robek.

Allahu Musta'an. Kebinatangan apakah ini? Syaitan pun takkan memangsakan bangsanya sebegini!

Kehidupan berlalu seperti biasa di sini. Awal pagi keluar ke tempat kerja. Petangnya pulang dengan berkereta. Kebanyakkannya memandu kereta mewah. Malamnya lenang bersama kerabat tercinta. Di hujung minggu, bawa anak isteri bersiar-siar. Bermain air di gigi pantai. Singgah ke restoran menjamu juadah enak-enak dan lazat. Bergambar dan berselfie. Begitulah kebanyakkan mereka memanfaatkan nikmat kehidupan.


Justeru, terdetik sesuatu. Adakah di hati mereka terfikir atau terbayang atau, tersedar tentang bagaimana hidupnya saudara-saudara jiran seagamanya di Yaman. Mereka tidak berada jauh. Hanya selangkah dari sempadan.

Ah! Bukan mereka sahaja. Situasi dayus ini di mana-mana. Lihat Jordan. Kirinya Palestin, di kanannya Syria. Saudi Arabia, di kepalanya Iraq, sempadan kakinya pula Yaman.

Kita pula bagaimana? Selatan Thailand, Pattani, Narathiwat, puak Arakan di Myanmar. Jauh sangatkah? Cuba buka peta google, tak sampai sejengkal pun langkah kita dengan mereka. Lalu, peranan kita apa?

Maaf. Tetiba jauh pena menari melakar bait perkataan untuk memaham dan menggambarkan kepada dunia luar bahawa realiti susunan kehidupan bukan seenak babak-babak dalam telemovie. Di sana tersedianya kesenangan dan kesusahan yang wajib ditanggung bersama.

Sebelum memasuki Yaman, kami perlu ke pekan Salalah yang masih lagi sebahagian dari Oman. Perjalanan dari Muskat ke Salalah hampir 13 jam dengan menaiki bas. Saya ambil peluang untuk lenakan minda di sepanjang jalan. Kerana apabila tibanya ke destinasi nanti, pasti akan ada banyak amanah yang sedia menanti kami.

Salalah. Untuk tidak memanjangkan hari, kami membuat keputusan untuk menaiki van prebet sahaja kerana bas ke Tarim hanya ada sekali seminggu. Dengan menaiki prebet sapu, perjalanan hampir 5 jam menuju ke Ghaidoh.

Ghaidoh. Ini cek poin kami yang ketiga dalam misi ini. Sebuah perkampungan kecil yang jauh dari Ibu Kota Yaman, Sana'a. Budaya masyarakat setempat sangat berbeza kalau mahu dibandingkan dengan Sana'a. Kehidupan yang teramat sederhana dan berTuhan. Agak dingin, tetapi suhunya tidak sesejuk Sana'a, kota dipuncak gunung.

Dari Ghaidoh, kami menaiki bas ke Tarim, sebuah kota yang dianggap suci oleh sesetengah kepercayaan. Tarim sebenarnya merupakan sebuah pekan yang terkenal dengan gerakan dakwah di wilayah Hadhramaut.

Qabilah Al-Idrus merupakan penyumbang terbesar kepada tamadun Islam di bumi Tarim. Hingga dipuja puji dibibir-bibir ulama Tarim.

Disanjung dan senantiasa diulang ulang. Merupakan sejarah kebanggaan anak didik Para Habaib. Sejarah tetap sejarah. Apa yang sering dikhayalkan adalah supaya Al-Idrus dan para Habaib di sini sama-sama bergelumang debu bersama para pejuang yang lain mempertahankan Islam seiring dengan slogan cintakan Baginda Nabi S.A.W. Bukan lagi sekadar berqasidah di pentas berwarna warni. Ya, sejarah harus dicipta semula.

Seperti biasa, bas Buroq menjadi pilihan. Kami menghabiskan masa hampir 12 jam untuk ke Tarim. Penat tak terkata kerana sehari setengah bermusafir tanpa henti.

Sebagaimana kebanyakan tugas dakwah ke Nusantara khasnya beberapa abad yang lampau banyak bermula dari Tarim, begitu jugalah dengan kami. Tugasan kami pada misi kemanusiaan kali ini juga bermula di sini. Pastinya saya akan berkongsi detik ini untuk dirasai bersama.


Kalau tidak terlalai, saya akan cuba untuk kongsikan kepada kalian pengalaman ke medan Maarib. Maarib boleh dikatakan umpama Gaza di Palestin dan Maarib juga merupakan benteng terakhir Yaman. Jatuh Maarib, keseluruhan Yaman akan jatuh ke tangan penguasa halimunan.

Insha-Allah hari ini kami akan mula masuk ke Maarib bersama-sama aktivis Yaman yang lain. Doakan agar terus diberikan akal yang cerdas untuk terus menulis dan mengkhabarkan kepada dunia luar.

Harapan yang tiada pernah surut kepada Allah SWT, Perancang yang maha mengatur perjalanan kami agar dipermudahkan langkah di medan kebajikan ini.

'Bangkit Beragama, Umat Terbela'

Solahuddin Al-Idrus

27 Rabiul Awwal 1438
27 Disember 2016
Tarim, Yaman

#Pray4Yemen #Humanitarian #Malaysia #Yaman




No comments:

" BI RUH...BI DAM "