Pages

Friday, 23 December 2016

Travelog 1 : 53 Jam Ke Oman




Semuanya tertakluk dalam rencana Tuhan. Walau sepintar mana pun kita bersidang atau berencana, ia bukanlah yang terbaik bahkan takkan ternyata andai tidak seiring dengan mahunya Tuhan.

Perjalanan untuk menjejak kembali ke bumi Yaman dalam misi bantuan kemanusiaan ini sebenarnya sudah dirancangkan sejak 2015 lagi. Fikir kami, persiapan awal perlu diusahakan. Juga persiapan  mental dan fizikal. Siapa tahu kalau-kalau ujian mehnahnya lebih banyak dari yang sebelum ini. Apatah lagi bila mengingatkan detik perjalanan pergi yang agak panjang bermula dari siang hingga melewati jam tidur paginya.


Tahun lepas saya berempat ke sini, bersama sahabat-sahabat delegasi YC yang lain dalam misi sulung YC. Tapi pada kali ini Tuhan merencanakan saya musafirnya hanya berseorangan. Tersasar dari rancangan awalnya iaitu 4 orang.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Muscat ghalibnya mengambil masa kurang lebih 11 jam, namun disebabkan tribulasi yang terpaksa dihadap, jadilah perjalanan tersebut selama 53 jam. Saya sebenarnya terkandas di Kuala Lumpur selama 42 jam. Teknikal problem.

42 jam itu sudah cukup menginsafkan dan memberi pengalaman yang begitu berharga buat diri. Seribu satu pengajaran yang tak reti bagaimana mahu saya nukilkan. Cukup saya katakan, ianya lebih menambahkan lagi rempah ratus dan ramuan kematangan dalam perjalanan dakwah ini. Benarkan? Rencana Dia lebih bernilai dari apa yang saya atau kami aturkan. Di situ duduknya hikmah yang tidak tersangkakan.

Sahabat-sahabat aktivis Yemen Care yang bertiga itu memutuskan untuk menanti di cek poin kami yang pertama, di Muscat, Ibu Kota Oman. Kami perlu seiring berjamaah untuk meneruskan misi ke Yaman ini. Ukhuwwah. Nah! Sekali lagi terzahirnya nilai perancanaan Tuhan yang sukar kita fahami.

Setibanya di Muscat, selain sahabat aktivis Yemen Care, Encik Azmi juga turut menanti. Encik Azmi merupakan kenalan ketika belajar di Yaman dahulu dan beliau merupakan Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia Ke Yaman. Oleh kerana Yaman bergolak, kini beliau bertugas di negara jiran Yaman. Iaitu di sini, negeri Sultan Qabus, Oman.

Di Muscat, kami menginap di rumah Encik Azmi. Menumpang kasih selama beberapa hari sementara menanti trip bas untuk ke Salalah dan seterusnya masuk ke tanah Yaman.

Untuk masuk ke Yaman, hanya yang tinggal di waktu ini adalah dengan menggunakan jalan darat.
Perjalanan dari Muscat ke Kota Tarim, Selatan Yaman memakan masa kurang lebih 27 jam dengan menaiki Bas.

Perjalanan yang meredah gunung dan sahara pasir itu sedikit mencabar kerana jalanrayanya walau pun tidak beralun dan bertol semacam di Malaysia, tapi ia pastinya tersangat penat dengan bagasi yang banyak dan kerenah baduwi Arab yang tak terlayan.

Jalannya tidaklah selebar expressway LPTII dan sekatan jalanraya oleh pihak tentera republik di setiap sempadan wilayah pula merupakan hentian 'tol' mereka. R&R? Kedai ala-ala koboi ada tersedia apabila melalui pekan-pekan kecil. Kering dan berdebu. Kadang-kadang terpandang unta-unta baladi berkeliaran.

Apabila di Tarim nanti, coretan ini saya akan panjangkan seizin Tuhan. Tujuan coretan Travelog Hikmah ini hanyalah semata-mata untuk membuka mata umat dunia tentang episod derita yang sedang berlaku di Yaman. Hadafnya, lihatlah duhai dunia, saban hari setiap detik, marhaen di Bumi Iman dan Hikmah ini terpaksa menanggung sengsara akibat dari percaturan khianat pemuka zalim dunia.

'Bangkit Beragama, Umat Terbela'

24 Rabiul Awwal 1438
24 Dec 2016
Muscat, Oman
Rabu.

No comments:

" BI RUH...BI DAM "