Pages

Saturday, 31 December 2016

Travelog 3 : Ma'arib, Kubu Sejuta Pelarian



Pagi itu saya sedikit gelabah. Terkalut dengan persiapan yang tidak berkesudahan. Perkakas media. Banting, banner, dan stiker untuk ditampal pada kantung sumbangan yang akan diedarkan di Maarib nanti masih banyak yang menunggu giliran untuk disentuh.

Maarib merupakan sebuah wilayah yang rata-rata penghuninya betul-betul menjiwai dan mengamalkan segala sunnah yang ditinggalkan Baginda Muhammad SAW. Berjanggut. Bersugi. Dan sangat hormat malah mendahulukan tetamu walau diri sendiri dalam keadaan dhoif yang amat.


Teringat pula saya tentang kisah bagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang kehausan dalam kecederaan teruk ketika peperangan Yarmuk. Hanya segelas air yang ada. Sahabat pertama yang mendapat air tersebut tidak sanggup meminumnya kerana lebih mengutamakan sahabat di sebelahnya. Lalu air dihulurkan kepada sahabat yang kedua. Beliau juga sedemikian tingkahnya lalu diberikan pula kepada sahabat yang ketiga.



Begitulah seterusnya, gelas yang berisi air itu berpindah dari tangan ke tangan yang lain. Sehingga air tersebut sampai semula ke giliran sahabat yang pertama tadi. Namun, beliau telah syahid. Bukan beliau sahaja, malah kesemua mereka telah syahid tanpa luak setitik pun air untuk menghilangkan kehausan. Mereka lebih rela mati dalam jalinan ukhuwah yang kukuh. Kepentingan diri sudah pupus dalam hati mereka. Diganti dengan sikap ukhuwahfilLah hasil didikan madrasah kenabian.
Saya difahamkan, nazihin (pelarian) di Maarib makin bertambah dan bertambah dari semasa ke semasa. Dianggarkan lebih kurang 1 juta orang yang menumpang teduh dari hujan peluru di wilayah kering kontang itu.



Kesemua 14 wilayah yang terjejas akibat krisis percaturan ghaib ini berbondong-bondong ke Maarib termasuk dari Dhamar dan Sana'a. Bayangkan, tanah Maarib yang tidak seberapa besar  itu menjadi tempat perteduhan mereka. Allahu Yahfaz ahlul Maarib. Semoga Allah melindungi penduduk Maarib.

Melalui Seiyun, ibu wilayah Hadhramaut, kami berangkat ke Maarib. Perjalanan ke sana mengambil masa 6 jam lebih membelah lebuhraya sahara. Kami menaiki jentera Prado kepunyaan Yayasan Islah Yaman. Sebuah NGO tempatan.




Kiri dan kanan jalan dibarisi gunung serta sahara yang luas tak terjangkau pandangan. Lebih 20 kali sekatan ataupun pemeriksaan keselamatan kami lalui di sepanjang jalan dari Seiyun ke Maarib. Inilah 'tol' di sini. Tanpa bayaran tunai. Mereka memakai sistem 'See Touch n Go'. Iaitu, pandang. Jika ada yang mencurigakan mereka akan pegang. Dan jika 'bersih', kita akan dapat meneruskan perjalanan.

Roadblock Mujahidin. Mereka ribath. Menjadi sukarelawan penjaga sempadan yang berkawal di sepanjang jalan demi mencari kelebihan 'jihad' untuk kebahagiaan di Darul Salam kelak. Siang malam mereka bersengkang mata dan tenaga demi untuk memastikan orang awam dapat hidup dalam keadaan selamat dari ancaman pengganas Houthi.

Sememangnya Allah sudah  agihkan tugasan pada paksi masing-masing. Mereka di medan perbatasan, manakala kami pula di medan kebajikan dan penyebaran maklumat. Kalian di tanah air pula di medan silmiyyah, menggunakan demokrasi untuk kedaulatan Islam.  Moga semua ini dinilai Tuhan sebagai amal jihad di jalan Allah.

Setibanya di Medan, kami disambut oleh Wakil Yayasan Islah cawangan Maarib. Pagi itu, kaki ini sekali lagi menjejak ke Hospital Maarib. Sebahagiannya sudah ranap diledak roket buatan luar. Kemudahan yang tersedia begitu meruntun perasaan. Kami dibawa untuk menziarahi pejuang-pejuang pembela tanah air yang tercedera teruk di medan.




Subhanallah. Mereka tetap kuat dan bersemangat walau badan tampak lemah. Walau mereka kehilangan kaki dan tangan. Sumpah. Terputik malu untuk berhadapan dengan roh jihad mereka.

Sempat saya bertegur sapa dengan seorang pejuang yang terlentang di katil pesakit dalam wad yang serba kekurangan itu.

Perutnya terburai ditembusi hampir 30 biji peluru penceroboh. Tiga kali pembedahan dibuat dalam tempoh satu tahun. Setiap kali sembuh dari sakit, terus bangkit galas ak47 untuk turun ke medan.

Beliau menceritakan, sudah tiga kali ditembak dibahagian perut yang sama. Ajib! Tuhan masih panjangkan nafasnya untuk berjumpa kami. Ahh, sememangnya bukan untuk bertemu kami sangat pun, tapi untuk mengutip kilauan hikmah yang bertaburan di medan juang. Umur beliau sekitar awal 20-an. Masih mentah dan segar. Tetapi direzekikan iman yang kuat berserta roh yang ranum untuk membela Islam. Mudahan Syurga ganjaranmu duhai Ansorullah!

Tanah Balqis sebelum ini telah menyaksikan peperangan. Sesudah sembuh daripada luka peperangan, sekarang dijangkiti pula dengan pelbagai jenis virus bawakan pelarian.


Nanah-nanah, kemiskinan, luka-luka, kepapaan, dan kemelesetan memenuhi segenap ruang di belahan bumi Maarib ini. Namun dengan kemurahan, dengan kecaknaan, mereka bersama-sama saling membahu membantu masyarakat yang digelar sebagai pelarian itu untuk mengharungi liku perjalanan ngeri episod hidup mereka.

Banyak lagi sebenarnya yang  teringin saya kongsikan kisah-kisah pejuang yang tercedara pada kalian. Tapi tarian pena terpaksa saya hentikan di perenggan ini sahaja kerana keterbatasan waktu dan kedhaifan jaringan maya yang ada di sini. Insha-Allah andai dipanjangkan umur dan kesempatan, pasti saya akan sambung coretan ini, demi Islam untuk Ummah.

Tika saya menulis bahagian penutup ini, sebenarnya saya sedang berada dalam Prado kepunyaan NGO Islah menuju ke wilayah yang masih bergolak teruk. Satu-satunya wilayah yang paling kuat pegangan ahlul sunnah. Taiz. Sehingga sekarang wilayah tersebut masih berperang dan sehingga saat ini tiada satu pun bantuan yang sampai ke sana. Pasti mereka sangat tertunggu-tunggu bantuan daripada pihak luar. Nantikan kami wahai mujahid Taiz. Kami akan akhiri penantian kalian walaupun dengan sekeping roti.




Nampaknya tahun ini kami akan bertahun baru dengan gema takbir, bunyi tembakan, dan percikan bunga api hasil ledakan bom puak penceroboh di wilayah Taiz. Doakan misi kami demi membantu mereka yang sedang membela agama Allah itu.

*'Bangkit Beragama, Umat Terbela'*

30 Disember 2016
Jumaat
Maarib

Monday, 26 December 2016

Travelog 2 - Menuju Tarim, Yaman



“Jauh perjalanan banyak pemandangan luas pengalaman, lama hidup banyak yang dirasa menjernih kematangan.”

Begitulah peribahasa bani Melayu yang mengakui kelebihan orang yang bermusafir terutamanya dari aspek pemandangan fizikal lorong yang dilalui serta budaya setempat, alam semula jadi, dan peradabannya. Peribahasa tersebut saya ungkap dalam versi sendiri tapi cukup menceritakan maksud yang serupa.

Lebih dari itu, bagi mereka yang benar-benar fokuskan pemerhatian dari pandangan spiritual, pasti akan dapat menyingkap tabir kejadian bahawa segalanya tertakluk pada kebesaran Allah yang maha Pencipta.


Friday, 23 December 2016

Travelog 1 : 53 Jam Ke Oman




Semuanya tertakluk dalam rencana Tuhan. Walau sepintar mana pun kita bersidang atau berencana, ia bukanlah yang terbaik bahkan takkan ternyata andai tidak seiring dengan mahunya Tuhan.

Perjalanan untuk menjejak kembali ke bumi Yaman dalam misi bantuan kemanusiaan ini sebenarnya sudah dirancangkan sejak 2015 lagi. Fikir kami, persiapan awal perlu diusahakan. Juga persiapan  mental dan fizikal. Siapa tahu kalau-kalau ujian mehnahnya lebih banyak dari yang sebelum ini. Apatah lagi bila mengingatkan detik perjalanan pergi yang agak panjang bermula dari siang hingga melewati jam tidur paginya.


Tahun lepas saya berempat ke sini, bersama sahabat-sahabat delegasi YC yang lain dalam misi sulung YC. Tapi pada kali ini Tuhan merencanakan saya musafirnya hanya berseorangan. Tersasar dari rancangan awalnya iaitu 4 orang.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Muscat ghalibnya mengambil masa kurang lebih 11 jam, namun disebabkan tribulasi yang terpaksa dihadap, jadilah perjalanan tersebut selama 53 jam. Saya sebenarnya terkandas di Kuala Lumpur selama 42 jam. Teknikal problem.

42 jam itu sudah cukup menginsafkan dan memberi pengalaman yang begitu berharga buat diri. Seribu satu pengajaran yang tak reti bagaimana mahu saya nukilkan. Cukup saya katakan, ianya lebih menambahkan lagi rempah ratus dan ramuan kematangan dalam perjalanan dakwah ini. Benarkan? Rencana Dia lebih bernilai dari apa yang saya atau kami aturkan. Di situ duduknya hikmah yang tidak tersangkakan.

Sahabat-sahabat aktivis Yemen Care yang bertiga itu memutuskan untuk menanti di cek poin kami yang pertama, di Muscat, Ibu Kota Oman. Kami perlu seiring berjamaah untuk meneruskan misi ke Yaman ini. Ukhuwwah. Nah! Sekali lagi terzahirnya nilai perancanaan Tuhan yang sukar kita fahami.

Setibanya di Muscat, selain sahabat aktivis Yemen Care, Encik Azmi juga turut menanti. Encik Azmi merupakan kenalan ketika belajar di Yaman dahulu dan beliau merupakan Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia Ke Yaman. Oleh kerana Yaman bergolak, kini beliau bertugas di negara jiran Yaman. Iaitu di sini, negeri Sultan Qabus, Oman.

Di Muscat, kami menginap di rumah Encik Azmi. Menumpang kasih selama beberapa hari sementara menanti trip bas untuk ke Salalah dan seterusnya masuk ke tanah Yaman.

Untuk masuk ke Yaman, hanya yang tinggal di waktu ini adalah dengan menggunakan jalan darat.
Perjalanan dari Muscat ke Kota Tarim, Selatan Yaman memakan masa kurang lebih 27 jam dengan menaiki Bas.

Perjalanan yang meredah gunung dan sahara pasir itu sedikit mencabar kerana jalanrayanya walau pun tidak beralun dan bertol semacam di Malaysia, tapi ia pastinya tersangat penat dengan bagasi yang banyak dan kerenah baduwi Arab yang tak terlayan.

Jalannya tidaklah selebar expressway LPTII dan sekatan jalanraya oleh pihak tentera republik di setiap sempadan wilayah pula merupakan hentian 'tol' mereka. R&R? Kedai ala-ala koboi ada tersedia apabila melalui pekan-pekan kecil. Kering dan berdebu. Kadang-kadang terpandang unta-unta baladi berkeliaran.

Apabila di Tarim nanti, coretan ini saya akan panjangkan seizin Tuhan. Tujuan coretan Travelog Hikmah ini hanyalah semata-mata untuk membuka mata umat dunia tentang episod derita yang sedang berlaku di Yaman. Hadafnya, lihatlah duhai dunia, saban hari setiap detik, marhaen di Bumi Iman dan Hikmah ini terpaksa menanggung sengsara akibat dari percaturan khianat pemuka zalim dunia.

'Bangkit Beragama, Umat Terbela'

24 Rabiul Awwal 1438
24 Dec 2016
Muscat, Oman
Rabu.

Rakyat Oman tidak peduli perang Yaman

Masyarakat Oman yang merupakan jiran kepada Yaman, tidak peduli dan meneruskan hidup seperti biasa,  walau Yaman sedang berperang sekarang.

Ketua Media dan Publisiti Yemen Care, Abdul Rahman Che Man menyeru orang ramai agar berfikir dan mengambil peduli tentang apa yang sedang berlaku pada saudara di Yaman.

"Mereka hidup dalam keadaan tenang, senang, gembira bersama keluarga.

"Kadang-kadang tidak mereka sedar apa yang  berlaku pada saudaranya di Yaman. Kemungkinan itu boleh berlaku pada kita,"ujarnya

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang pandangannya terhadap kepeduliaan masyarakat oman tentang pergolakan di Yaman.

Beliau berkata demikian ketika 'transit' di Muskat, Oman di sini, pada Jumaat 23 Disember, dalam perjalanan meneruskan Misi Kemanusiaan Yemen Care, Ke Yaman

Turut sama dalam Misi tersebut ialah Nasiruddin Othman selaku Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Yaman dan Aktivis Abdul Muin bin Zaulkifli

Menurut Abdul Rahman Misi tesebut bertujuan untuk membantu masyarakat Yaman yang terkesan akibat perang..

Sunday, 11 December 2016

Harapan


Semoga tuhan masih lagi memberi peluang untuk aku berkhidmat Untuk Murobbi Kesayanagn Ummah

Friday, 2 December 2016

Houthi telah mengambil lebih 2000 kanak2 Yaman untuk menjadi tentera mereka


Militan Houthi dan tentera yg setia kepasa bekas presiden Ali Abdullah Saleh telah mengrekrut lebih 2000 kanak untuk menjadi tentera di barisan mereke.
Operasi pengambilan kanak2 itu telah di ketuai oleh Ahmed al-Washly yang terkena dengan keupaya untuk mengambil dan menjadikan seseorang kanak itu pejuang radikal untuk mereka
" BI RUH...BI DAM "