Pages

Sunday, 20 March 2011

Membuka Pintu Hidayah

Alhamdulillah, kesyukuran buat Allah yang memberikan kekuatan sehingga ke hari ini. Walaupun diri ini penuh ‘desire’ yang mendesak, tetapi nafsu yang dipupuk dengan iman insyaAllah mampu untuk ditundukkan. Syukur juga kerana rezeki yang selama ini bergantung kepadanya tidak diputuskan, rahmat Allah itu maha luas, diharap peluang untuk meneruskan hidup ini dijalankan dengan yang terbaik.

Setelah lama mendiamkan diri daripada arena blogging, saya kini cuba untuk meluangkan masa kembali di hadapan komputer untuk menulis sedikit perkongsian . . .. . .




Membuka Pintu Hidayah

Kebersihan hati itu mengundang rahmat daripada Allah. Begitu juga hidayah, yakni sebuah petunjuk yang membimbing seseorang itu untuk dekat kepada Allah swt. Namun, andainya hati itu sarat dengan dosa dan tercalit noda-noda maksiat, maka manakah mungkin ianya akan membuka ruang kepada orang lain untuk menerima hidayah lewat tangannya.

“Sungguh jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang melalui engkau (dakwah engkau) maka itu lebih baik bagimu daripada engkau memiliki unta merah.”
[Hadis Riwayat Muslim]

Persoalan unta merah di dalam hadis ini yang menggambarkan sesuatu perkara yang sangat-sangat mahal dan sukar dimiliki adalah satu perbincangan yang sudah diketahui ramai. Namun, adakah ianya mudah untuk Allah berikan ganjaran sebesar itu?
  
Sesat dengan Akal

Pernah dengar orang yang semakin sesat apabila dia semakin mendalami sesuatu ilmu? Pernah dengar ilmu mantik yakni ilmu logik? Ada manusia yang menjadikan sains itu tuhan, sehingga merasakan kehidupan beragama itu adalah suatu perkara yang kolot. Semua kerana melihat logik apabila manusia itu mampu menyembuhkan penyakit dengan ilmu sains, mencipta tumbuh-tumbuhan, dan juga meramal cuaca.



Semakin bertambah ilmunya, semakin angkuh dia. Tanpa sedikit pun dia sedar, ada mata yang memerhati memberikan simpati kerana sedih melihat kebodohannya.

Orang agama juga, pernah suatu masa menjadi sesat dengan ilmunya. Bila dilihat kisah orang yahudi dan nasrani, mereka memutar belit hukum agama dan fakta sejarah supaya penganut-penganutnya tidak lari untuk memeluk agama Islam.

Di dalam agama Islam juga, tidak lari manusia itu berfikir untuk menyempurnakan agamanya. Maka, dicipta ibadah-ibadah yang diyakini mampu untuk memberikan ketenangan spiritual. Mengadakan ritual-ritual serta mencipta zikir tersendiri yang dikatakan bersandar pada hadis-hadis nabi. Satu persoalan, masihkah tidak sempurna syariat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw?

Oh, sebenarnya ilmu itu memang tersangat penting. Tetapi, dengan ilmu juga syaitan itu mampu untuk menyesatkan sekiranya tidak disandarkan pada sifat tawadhu’ dan syukur. Di mana kita berpijak, di mana asal usul kita, dan ke mana kita akan pergi? Soalan-soalan itu sepatutnya kita persoal pada diri agar tidak terus hanyut dengan arus kesombongan.

Betolkah Jalan Yang Dipilih?

Saya pernah bertanya pada diri sendiri, “tak menyesal ke pilih jalan ni?”

Walaupun kadang-kadang merasa payah, dan mempersoalkan keikhlasan diri. Tetapi apa yang telah dilakukan, tak perlu untuk disesali selamanya. Bahkan perlu sentiasa berdoa kepada Allah agar hati itu diperteguhkan lagi di dalam iman yang sempurna.

Saya mengenali seorang kawan, dia merasakan dirinya perlu berubah apabila telah lama meninggalkan kehidupannya yang menjaga diri, ibadah dan hubungan dengan Allah. Sebelum ini, dia merasakan telah melakukan banyak dosa yakni tidak menjaga pergaulan dengan yang mahram, banyak melakukan perkara lagho, dan langsung tidak menjaga ibadah dengan baik.

Tetapi, apa yang menghalangnya untuk terus berubah? Dia merasakan dia hanya perlu mengubah apa yang dimampu sahaja. Dia tidak berazam tinggi untuk meninggalkan maksiat yang menghantuinya. Bila diajak maksiat, fikirannya adalah “Apa salahnya dibuat sekali sekala..”

Akhirnya, saya tidak lihat langsung perubahan pada dirinya. Itu bukan taubat nasuha, dan semestinya dia akan melakukannya berulang kali jika ia bukan sebenar-benar taubat. Kemudian, nafsu dan syaitan mampu membuatkan dia melihat sesuatu perkara haram itu sebagai perkara halal dan melihat perkara halal itu sebagai haram. Wallahua’lam, sampai bila perlu bergantung pada akal yang kurang kefahaman?

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Ar-Ra’d, 13:11]

Bila Pintu itu kan Terbuka?

Ada orang yang mencari hidayah sepanjang hidupnya, dan hanya menemukan secebis daripadanya di akhir hayatnya. Tetapi adakah hidupnya sia-sia? Tidak sesekali, bahkan itulah kehidupan yang paling mulia. Mati di dalam keadaan hadirnya cinta kepada Allah yang esa.

Namun, permasalahan bila seseorang itu berdakwah. Segalanya ingin berlaku dengan cepat. Walaupun baru sebulan dua mengajarkan orang itu Ilmu mengenai Islam, kemudian terus dituntutnya untuk melakukan pengorbanan. Dikatakannya kita perlu menjadi Saidina Abu Bakar yang terus menarik ramai orang untuk masuk Islam. Bila dia tidak taat, terus dimarahinya.

Walaupun sememangnya kisah Abu Bakar itu perlu dijadikan prinsip, tetapi berapa ramai lagi sahabat yang memerlukan masa untuk berubah. Semuanya bergantung kepada kefahaman masing-masing, dan Allah itu Maha Pengampun. Kita bukan dakwah tongkat sakti, yang boleh melakukan perubahan sekelip mata. Setiap perubahan itu sebenarnya memerlukan masa. Maka bersabarlah..

Diharapnya, agar tarbiyah yang saya pegang sekarang ini mampu untuk mengubah masyarakat dan diri saya sendiri. Walaupun tidak dilihat kejayaan itu sekarang, tetapi pasti masanya akan tetap tiba. Yang penting, untuk kita sentiasa memanfaatkan masa demi untuk dakwah umat dan diri sendiri.

“dalam syurga yang tinggi, tidak kamu dengar di dalamnya perkataan yang tidak berguna.” [Al-Ghaasyiyah, 88:10-11]

No comments:

" BI RUH...BI DAM "