Oleh : Solahuddin Al-Idrus
Pagi yang kelam kabut. Hati bagai disentap. Berdebar serta teruja. Ya! Teruja kerana diberi peluang untuk _cover_, membuat liputan di 'jabhah', sebuah medan di tengah-tengah lereng bukit di Madinatul Taiz. Banyak perkara sebenarnya yang boleh membuat saya berdebar keterujaan, tetapi salah satunya ialah ini.
Bukan senang mahu menunggu detik untuk dapatkan peluang sebegini. Bukan mudah mahu dipujuk mereka semua untuk membawa kami hingga ke daerah jihadi ini. Iya la kan, kami adalah orang luar. Tambahan pula, sekarang kami berada di negara yang orang-orangnya kurang mesra dengan media. Dengan maksud, asal mahu diambil gambar sahaja, semua tidak boleh. Semuanya Haram. _Mamnuk_. Apatah lagi perkara besar sebegini, yang melibatkan nyawa.
Mereka sebenarnya lebih mengambil sikap berwaspada, mereka bukan anti media. Disebabkan di luar sana terlalu bersepah pihak media sampah yang menjadi juak-juak talibarut musuh, mereka terpaksa bersikap demikian.
Selepas benar-benar yakin dengan tugas dan tujuan kami, barulah mereka melepaskan kami untuk membuat liputan di sini.
Saya difahamkan, sudah ramai jurugambar dan juruvideo dari dalam dan luar negara yang menjadi sasaran utama peluru musuh, pihak pemberontak. Sudah ramai pengamal media yang syahid di tangan sniper musuh sewaktu bertugas.
Kalian tahu kerana apa? Semata-mata kerana mereka tidak mahu apa yang berlaku di Yaman diketahui oleh negara-negara jiran, oleh pihak luar. Bila mereka tahu, tentu sekali bantuan dan simpati akan datang mencurah-curah ke Yaman.
_Nas alulLaha Taala Taqabbalahum mina Syuhada_. Semoga Allah menerima mereka yang gugur sebagai para Syuhada.
"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman (mukmin), jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, disebabkan mereka berjuang di jalan Allah, maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang seagung-agungnya". (At-Taubah: 111)
Perjalanan kehidupan seseorang menuntut kepada sebuah perjuangan yang inti di dalamnya ialah nilai pengorbanan yang sangat tinggi. Seseorang pejuang sudah pasti mengimpikan suatu kejayaan yang memerlukan pengorbanan. Seiring dengan pengorbanan itu sudah pasti perlukan ketabahan, keyakinan, semangat, dan matlamat kejayaan yang jelas dan jitu demi memastikan kejayaan yang dimiliki akan membuahkan kebahagiaan kepada si pejuang.
Sesungguhnya kehidupan ini adalah untuk memberi, bukan sekadar menerima. Ia juga untuk dimanfaatkan sebagai bekalan kehidupan abadi.
Sebelum bertolak, pagi itu kami diberi taklimat tentang keadaan semasa di medan oleh seorang Ahli Parlimen dalam kawasan Taiz yang juga merupakan Amir kepada barisan mujahidin yang sedang berkawal. Namanya Abdul Kareem.
Kami dimaklumkan, tentera pemberontak Houthi sedang berbalas tembakan dan beliau akan membawa kami ke sana untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Di sana nanti, kami pasti berpeluang menyaksikan bagaimana kesan kemusnahan akibat peperangan ciptaan pencatur ghaib ini.
Kami dikawal ketat oleh barisan mujahidin. Segala tindak tanduk diperhatikan mereka. Adakala saya dimarahi kerana tidak fokus untuk merakam gambar sekeliling. Mungkin saya terlalu teruja menyebabkan kadang-kadang tindakan yang dibuat di luar kawalan dan arahan yang ditetapkan. Sungguh amanah mereka ini. Tidak berganjak tubuh dan mata. Mengekori dan mengawasi. Ke mana sahaja saya pergi, pasti tidak lepas dari pengawasan mereka. Kadang-kadang timbul rasa rimas pula. Agaknya beginilah perasan anak-anak raja atau bangsawan yang mempunyai pengawal peribadi.
Kebanyakan mujahidin di sini terdiri dari kalangan 'Fityatun'. Pemuda dari pelbagai latar dan qabilah. Dari kalangan orang-orang yang gagah akal, minda, dan fizikal. Yang pastinya, mereka adalah di kalangan pemuda-pemuda yang menyahut pilihan Tuhan. Sepertimana kita lihat dalam kisah Ashabul Kahfi. Sekumpulan anak muda yang beriman serta berpegang teguh dengan janji Allah SWT.
Mereka lebih rela mengorbankan masa, tenaga, harta, hatta waktu seronok alam muda mereka dengan menginfaqkan diri ke jalan Allah. Dengan agama, mereka bangkit membela saudara seakidah!
Sepanjang mengikuti Abdul Kareem, saya melihat beliau seorang yang amat disegani ramai. Beliau juga terkenal sebagai tokoh pendamaian di kalangan masyarakat. Abdul Kareem pernah diperangkap dalam cubaan untuk dibunuh oleh pemberontak Houthi, namun kuasa Allah mengatasi segalanya.
Pagi itu suasana sekeliling sunyi. Sesekali sayup kedengaran bunyi tembakan. Sejak dari malam lagi, begitulah. Mereka hanya berhenti berbalas tembakan sewaktu azan Subuh berkumandang.
Subhanallah.
Subuh itu sungguh syahdu. Dalam suasana di sekeliling gelap gelita, kedengaran bacaan solat dicorong masjid dan penamatnya adalah dengan bacaan Qunut Nazilah, memohon pertolongan Allah Azzawajalla. Terpegun saya melihatnya. Terkelu minda dan pena. Kolam di tubir mata seolah ingin melimpah. Sekaligus membangkitkan semangat untuk sama-sama menolong mereka.
Ya, dengan bersenjatakan Canon7D sumbangan orang ramai dan pena ini saya terjun ke medan jihadi yang sedang dikawal oleh para _ansorulLah_. Mujahid. Mujahid media.
Antara hari-hari indah sewaktu keberadaan di Yaman sama ada ketika ini mahu pun sewaktu belajar dahulu, ialah apabila azan dilaungkan, mereka bersiap sedia untuk mengadap Ilahi. Tua. Muda. Masing-masing meninggalkan sebentar kekecohan alam dunia. Dan perkara terbaik adalah sama-sama berkejaran berjemaah di masjid. Andai terserempak di jalanan, mereka tanpa segan tiada silu turut mengajak kita ke masjid. Semoga Allah merahmati penduduk Yaman!
Sodaqta Ya Rasulullah! Iman itu benar-benar wujud di Yaman.
'Bangkit Beragama, Umat Terbela'